Siapa yang paling hina? : Siapa tu...?

Ada seorang pemuda.Dia belajar dengan seorang guru agama.Setelah beberapa bulan, guru itu pun memberinya satu ujian.
Kata si guru kepada pemuda itu,
 "Telah ku ajarkan bermacam-macam perkara kepadamu. Soalan yang ku beri, kau mampu menjawabnya dengan baik. Kini aku berikan kau ujian terakhir. Aku berikan masa selama tiga hari.Pergilah engkau mencari makhluk Allah yang lebik buruk dan hina berbanding dirimu. Dan kemudian datang kepada ku semula membawa jawapanmu."
Pergilah berjalan pemuda itu keserata tempat. Hari pertama, dia bertemu dengan seorang lelaki pemabuk. Setiap waktu kerja lelaki itu hanya meneguk minuman haram itu.
"Inilah orang yang lebih buruk dari aku. Lelaki ini menghabiskan setiap waktu mabuk, sedangkan aku tidak pernah lupa membuat amal ibadah." kata pemuda itu dalam hati.
Tetapi, tidak lama kemudian, terdetik semula di hati pemuda itu. Belum tentu lelaki pemabuk itu seorang yang hina. Siapa tahu jika akhir hayatnya, Allah akan memberinya hidayah dan dia kembali ke pangkal jalan. Bahkan mungkin ibadahnya jauh lebih baik daripada dirinya.
Pemuda itu tidak putus hati. Dia berjalan lagi dan bertemu dengan seekor anjing jalanan. Haiwan itu kotor. Di penuhi luka dan menjijikkan.
"Anjing adalah haiwan yang haram dimakan. Kotor dan buruk. Ya, anjing inilah lebih buruk dan hina daripadaku." getusnya dalam hati.
Namun, semasa duduk termenung, pemuda itu berfikir semula. Jika anjing itu mati, ia tidak akan dipertanggungjawabkan atas perbuatannya semasa di dunia berbanding manusia. Sedangkan dirinya sudah pasti akan di kira segala dosa semasa masih hidup. Jikabanyak dosa, dia akan masuk neraka. Bermakna, anjing itu tidak seburuk seperti yang disangkanya.
Pemuda itu mengeluh. Merenung semula dengan jawapan yang di cari terhadap persoalan yang diberi gurunya.
Pada hari ketiga, pemuda itu datang menghadap gurunya.
"Sudahkah kau mendapat jawapannya?" tanya si guru
"Sudah. Yang paling buruk dan hina adalah diriku sendiri." jawab pemuda itu.
Guru itu tersenyum. Katanya,
"Benar. Selama kita hidup, kita tidak boleh sombong dan berasa lebih baik dari orang lain. Kita tidak tahu bagaimana pengakhiran hidup kita kelak. Hanya Allah SWT yang berhak untuk berasa 'sombong' kepada hamba-hambaNya. Ya, kamu lulus ujian ini!"

No comments:

Post a Comment

Copyright by ungutinta.blogspot.com